[index]
malais - bahasa Melayu
Perisytiharan hak asasi manusia sejagat
Mukaddumah
Bahawasanya pengiktirafan keutuhan kemuliaan dan hak samarata serta asasi yang
tak terpisah bagi seluruh umat manusia adalah asas kebebasan,keadilan dan kedamaian
dunia.
Bahawasanya pengabaian serta penghinaan terhadap hak asasi manusia telah pun
mengakibatkan tindakan terkutuk yang telah melanggari perasaan hati umat manusia,
dan munculnya sebuah dunia di mana manusia akan menikmati kebebasan berucap
dan menganut kepercayaan serta kebebasan dari rasatakut dan citarasa telah pun
diisytiharkan sebagai aspirasi toragung seluruh umat manusia.
Sekiranya kita tidak mahu mendorong manusia dalam keadaan terdesak, sebagai
pilihan terakhir, memberontak mementang kezaliman serta penindasan, maka adalah
penting bagi hak asasi manusia dipertahankan oleh kedaulatan undang-undang.
Bahawasanya adalah penting bagi memajukan perkembangan perhubungan persahabatan
di antara negara-negara.
Bahawasanya rakyat Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam Piagamnya telah sekali lagi
menegaskan kepercayaan mereka terhadap hak asasi manusia, terhadap kemuliaan
serta nilaidiri manusia dan terhadap hak samarata lelaki dan perempuan dan telah
menetapkan keazaman untuk memajukan perkembangan sosial dan taraf hidup yang
lebih sempurna dalam suasana kebebasan yang lebih luas.
Bahawasanya Negara-Negara Anggota telah berikrar untuk masing-masing mencapai,
dengan kerjasama Bangsa-Bangsa Bersatu, pengutaraan kehormatan sejagat terhadap,
serta pematuhan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi.
Bahawasanya satu fahaman bersama terhadap hak serta kebebasan ini seluruhnya adalah
terpenting demi menjadikan ikrar ini kenyataan sepenuhnya.
Maka dengan ini
Perhimpunan agung mengisytiharkan
Perisytiharan sejagat hak asasi manusia ini sebagai suatu ukuran bersama terhadap
pencapaian oleh seluruh umat manusia dan kesemua negara dengan tujuan supaya
setiap individu dan setiap badan masyarakat, dengan senantiasa mengingati Perisytiharan
ini, hendaklah berazam melalui pengajaran dan pendidikan bagi memajukan sanjungan
terhadap seluruh hak-hak dan kebebasan ini dan secara langkah-langkah berperingkat-peringkat,
di bidang negara dan antarabangsa, bagi menjaminkan pengkitirafan dan pematuhan
sejagatnya yang berkesan, kedua-duanya di antara negara-negara anggota masing-masing
dan rakyat wilayah-wilayah di bawah bidangkuasa mereka.
Perkara 1.
Semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan
dan hak-hak. Mereka mempunyai pemikiran dan perasaan hati dan hendaklah bertindak
di antara satu sama lain dengan semangat persaudaraan.
Perkara 2.
Setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan yang termaktub
dalam Perisytiharan ini, tanpa sebarang apa jua pembezaan, seperti bangsa, warna
kulit, jantina, bahasa, ugama, faham politik atau lain-lain fahaman, asal-usul
bangsa keturunan atau sosial harta-benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain.
Seterusnya, tiada sebarang pembezaan boleh dibuat berasaskan pada taraf politik
atau bidangkuasa ataupun antarabangsa sesebuah negara atau wilayah datangnya
seseorang itu, sama ianya merdeka, berałanah, tanpa pemerintahan sendiri
atau berada di bawah apa-apa sekatan kedaulatan lainnya.
Perkara 3.
Setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.
Perkara 4.
Tiada sesiapa pun boleh diperhamba atau diperabdikan; keabdian dan dagangan
hamba abdi hendaklah dilarang dalam semua bentuknya.
Perkara 5.
Tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim,
tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.
Perkara 6.
Setiap orang adalah berhak kepada pengiktirafan di mana jua sebagai seorang
insan di sisi undang-undang.
Perkara 7.
Semua orang adalah samarata di sisi undang-undang dan berhak tanpa apa-apa pembezaan
kepada perlindungan yang samarata di sisi undang-undang. Semua orang adalah
berhak kepada perlindungan yang samarata daripada sebarang pembazaan yang melanggar
Perisytiharan ini dan daripada sebarang hasutan terhadap pembezaan sedemikian.
Perkara 8.
Setiap orang adalah berhak kepada pemulihan yang berkesan oleh tribunal-tribunal
kebangsaan yang kompeten terhadap tindakan-tindakan yang melanggar hak-hak asasi
yang diberikannya oleh perlembagaan atau oleh undang-undang.
Perkara 9.
Tiada sesiapa pun boleh dikenakan tangkapan, tahanan atau pembuangan negeri
secara sewenang-wenangnya.
Perkara 10.
Setiap orang adalah berhak dengan samarata sepenuhnya kepada pembicaraan adil
dan terbuka oleh suatu tribunal bebas dan saksama, dalam penetapan hak-hak dan
tanggungannya dan sebarang tuduhan jenayah terhadapnya.
Perkara 11.
1. Setiap orang yang dituduh dengan kesalahan keseksaan adalah berhak dianggap
tidak salah sehingga dibuktikan salah menurut undang-undang di dalam perbicaraan
terbuka di mana dia telah diberikan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.
2. Tiada sesiapa pun boleh diputuskan bersalah atas sebarang kesalahan keseksaan
oleh kerana sebarang tindakan atau ketinggalan yang tidak merupakan suatu kesalahan
kesiksaan, di sisi undang-undang kebangsaan atau antarabangsa, pada masa ianya
dilakukan. Tiada pula boleh dikenakan sebarang hukuman yang lebih berat dari
hukuman yang terpakai ketika kesalahan keseksaan itu dilakukan.
Perkara 12.
Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan kepada sebarang gangguan sewenang-wenangnya
terhadap keadaan peribadi, keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau
percerobohan ke atas maruah dan nama baiknya. Setiap orang berhak kepada perlindungan
undang-undang terhadap gangguan atau percerobohan sedemikian.
Perkara 13.
1. Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan bergerak dan bermastautin di
dalam sempadan sesebuah negara.
2. Setiap orang berhak meninggalkan mana-mana negara, termasuk negaranya sendiri,dan
kembali semula ke negaranya.
Perkara 14.
1. Setiap orang berhak memohon dan menikmati perlindungan politik dalam negara
lain daripada sebarang aniaya.
2. Hak ini tidak boleh dituntut bagi pendakwaan yang benar-benar timbul daripada
kesalahan bukan politik atau daripada tindakan yang bertentangan dengan tujuan-tujuan
dan prinsip-prinsip Bangsa-Bangsa Bersatu.
Perkara 15.
1. Setiap orang adalah berhak kepada suatu kewarganegaraan.
2. Tiada sesiapa pun boleh dilucutkan kewarganegaraannya secara sewenangwenangnya
atau dinafikan hak menukar kewarganegaraanya.
Perkara 16.
1. Lelaki dan perempuan dewasa, tanpa mengira bangsa, kewarganegaraan atau ugama,
berhak berkahwin dan menubuhkan keluarga. Mereka adalah berhak kepada hak-hak
samarata berhubung dengan perkahwinan, dalam tempoh masa perkahwinan dan pada
pembubarannya.
2. Perkahwinan hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan bebas dan sepenuhnya
oleh pihak-pihak yang bercadang untuk berkahwin.
3. Keluarga adalah yunit kumpulan semulajadi dan asasi dalam masyarakat dan
adalah berhak kepada perlindungan oleh masyarakat dan Negara.
Perkara 17.
1. Setiap orang berhak memiliki harta secara bersendirian serta secara berkongsi
dengan orang lain.
2. Tiada sesiapa pun boleh dilucutkan harta-bendanya secara sewenang-wenangnya.
Perkara 18.
Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, perasaan hati dan ugama;
hak ini termasuklah kebebasan menukar ugama atau kepercayaannya, dan kebebasan,
samada secara bersendirian atau secara bersama-sama dengan orang-orang lain
dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti ugama atau kepercayaannya melalui
pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan.
Perkara 19.
Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran;
hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut,
menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan
tanpa mengira sempadan.
Perkara 20.
1. Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan
persatuan.
2. Tiada sesiapa pun boleh dipaksa menjadi ahli mana-mana pertubuhan.
Perkara 21.
1. Setiap orang berhak mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung
atau melalui wakil-wakil yang dipilih dengan bebas.
2. Setiap orang adalah berhak kepada peluang samarata kepada perkhidmatan awam
dalam negaranya.
3. Kemahuan rakyat hendaklah menjadi asas kewibawaan kerajaan; kemahuan ini
hendaklah dibuktikan melalui pilihanraya berkala yang sejati yang mana hendaklah
diadakan secara sejagat dan samarata dan hendaklah diadakan secara undi sulit
atau melalui acara pengundian bebas yang ketara.
Perkara 22.
Setiap orang, sebagai anggota masyarakat, adalah berhak kepada keselamatan sosial
dans berhak menjadikan suatu kenyataan, melalui usaha negara dan kerjasama antara-bangsa
dan menurut organisai dan sumber-sumber dalam negara masing-masing, hak-hak
ekonomi, sosial dan kebudayaan yang termesti bagi kemuliaannya dan perkembangan
bebas keperibadiannya.
Perkara 23.
1. Setiap orang adalah berhak kepada pekerjaan, kepada pemilihan pekerjaannya
secara bebas, kepada keadaan-keadaan pekerjaan yang adil dan berfaedah baginya
dan kepada perlindungan daripada pengangguran.
2. Setiap orang, tanpa sebarang pembezaan, adalah berhak kepada penggajian yang
sama bagi kerja yang sama.
3. Setiap orang yang bekerja adalah berhak kepada pembayaran saraan yang adil
dan berfaedah baginya yang mana mempastikan buat diri dan keluarganya suatu
kehidupan sesuai dengan kemuliaan manusia, dan yang mana ditambah, jika pertu,
oleh cara-cara perlindungan sosial yang lainnya.
4. Setiap orang berhak menubuh dan menjadi ahli kesatuan sekerja bagi memperlindungi
kepentingan-kepentingannya.
Perkara 24
Setiap orang adalah berhak kepada rihat dan masa lapang, termasuk batasan munasabah
keatas masa bekerja dan cuti bergaji yang berkala.
Perkara 25
1. Setiap orang adalah berhak kepada suatu taraf hidup yang memadai bagi kesihatan
dan kebajikan diri dan keluarganya, termasuklah makanan, pakaian, perumahan
dan pengawasan perubatan serta perkhidmatan sosial yang perlu, dan berhak kepada
perlindungan ketika berlakunya pengangguran, kesakitan, ketidakupayaan, diperjandaan,
keuzuran atau lain-lain kekurangan kehidupan dalam keadaan di luar kawalannya.
2. Ibu dan anak adalah berhak kepada jagaan serta bantuan khas. Semua kanak-kanak,
samada dilahirkan di dalam maupun di luar nikah, hendaklah menikmati perlindungan
sosial yang sama.
Perkara 26.
1. 1)Setiap orang adalah berhak kepada pelajaran. Pelajaran hendaklah diberikan
percuma, sekurang-kurangnya pada peringkat awal dan asasnya. Pelajaran peringkat
awal hendaklah diwajibkan. Pelajaran teknikal serta profesional hendaklah disediakan
untuk umum dan pelajaran tinggi hendaklah mempunyai akses yang samarata kepada
semua orang atas dasar kebolehan.
2. Pelajaran hendaklah ditujukan kepada perkembangan sepenuhnya keperibadian
manusia dan ke arah memperkukuhkan lagi rasa hormat bagi hak-hak dan kebebasan
asasi manusia, lanya hendaklah memupuk persefahaman, kesabaran dan persahabatan
di kalangan semua negara, bangsa atau kumpulan-kumpulan ugama, dan hendaklah
memajukan segala kegiatan Bangsa-Bangsa Bersatu demi memelihara keamanan.
3. Ibu-bapa mempunyai hak terdahulu untuk memilih jenis pelajaran yang akan
diberikan kepada anak-anak mereka.
Perkara 27.
1. Setiap orang berhak secara bebas mengambil bahagian dalam kegiatan kebudayaan
masyarakatnya, menikmati kesenian dan sama-sama merasai kemajuan sains dan faedah-faedahnya.
2. Setiap orang adalah berhak kepada perlindungan kepentingan-kepentingan moral
dan kebendaan hasil dari sebarang penghasilan sains, kesusasteraan atau kesenian
yang mana ianya adalah penciptanya.
Perkara 28.
Setiap orang adalah berhak kepada suatu susunan sosial dan antarabangsa dalam
mana hak-hak asasi dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan ini boleh
dijadikan kenyataan sepenuhnya.
Perkara 29.
1. Setiap orang mempunyai kewajipan terhadap masyarakat hanya dalam mana perkembangan
keperibadiannya secara bebas dan seluruhnya termungkin.
2. Dalam mengamalkan hak-hak dan kebebasannya, setiap orang tertakluk hanya
kepada batasan-batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata
bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap
hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya
bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang
demokratik.
3. Hak-hak dan kebebasan ini tidak boleh sama sekali diamalkan secara bertentangan
dengan tujuan-tujuan dan prinsip-prinsip Bangsa-Bangsa Bersatu.
Perkara 30.
Tiada apa-apa jua dalam Perisytiharan ini boleh ditafsirkan sebagi sedia tersirat
memberikan kepada mana-mana negara, kumpulan atau perseorangen sebarang hak
untuk melibatkan diri dalam apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa perbuatan
dengan tujuan memusnahkan apa-apa hak dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan
ini.
[index]